~ Khutbah ini disampaikan pada 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriyah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersunggah-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'Ibadah Haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.
Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah AI-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.
Umum mengetahui bahawa sejarah peradaban Islam telah membuktikan bahawa telah lahir ramai tokoh-tokoh ilmuan Islam yang menyumbang dalam modernisasi dunia dan transformasi cara hidup manusia. Sebut sahaja, Ibnu Sina, Abu Qassim dan Ar-Razi, sudah pasti pembaca membayangkan kehebatan mereka dalam merintis ilmu & teknologi baru dalam bidang perubatan, pembedahan & farmaseutikal.Ibnu Khaldun yang terkenal dengan perintisan ilmu sosiologi moden yang membincangkan tentang falsafah kehidupan.Siapa yang tidak kenal al-Khawarizme, seorang ilmuan matematik yang memperkenalkan teori algebra dan trigonometri, yang menjadi sumber kepada pencetusan teknologi perkomputeran, yang jelas membantu kerja-kerja manusia pada hari ini.Sewaktu Eropah mengalami zaman kegelapan, gelap yang bermaksud kehidupan yang tiada prospek, kehidupan rakyat yang dikawal sepenuhnya oleh pihak gereja sehinggakan para pemikir dan saintis yang mengeluarkan teori serta pendapat baru yang bertentangan dengan pihak gereja dibunuh dan diseksa, tatkala itu ilmu berkembang begitu pesat terutamanya di dalam peradaban Khilafah Abbasiyyah.
Beberapa kota besar di Timur Tengah telah menjadi kota ilmu pengetahuan seperti Iskandariah, Harran, Antiok dan Baghdad. Perbincangan akademik yang melibatkan tajuk besar seperti metafizik, perubatan, astronomi, etika, politik, fizik dan seumpamanya dibahas secara terbuka dan ilmiah. Kemunculan ahli-ahli fikir besar seperti Al-Farabi, Ibnu Sina, Al-Biruni, Ibnu Miskawayh Ar-Razi, Al-Khawarizmi, Ibnu Haitham, Ibnu Rusyd Ibnu Bajja, Ibnu Masarrah, Ibnu Tufail, dan Ibnu Khaldun. Mereka menjadi pemikir-pemikir dalam bidang-bidang falsafah, metafizik, fizik, matematik, etika, politik, psikologi, perubatan, geografi, astronomi, kimia, optik, dan muzik.
Kehebatan ini telah diakui sendiri oleh orang Eropah.Philip K Hitti dalam bukunya The Arabs: A Short History menukilkan bahawa “Muslim Sepanyol menulis satu bab yang sangat cemerlang dalam sejarah intelektual abad pertengahan Eropah. Antara pertengahan 8 dan permulaan abad ke-13, orang-orang yang bertutur dalam bahasa Arab adalah pemegang utama cahaya budaya dan tamadun di seluruh dunia, melalui medium sains dan falsafah kuno telah dipulikanh,di atas dasar itulah yang menjadi penyumbang kepada kebangkitan eropah (renaissance of Western Europe)” (rujuk halaman 174-175)
Inspirasi kepada kebangkitan Eropah
Di akhir-akhir zaman kegelapan Eropah, boleh dikatakan punca kepada kebangkitan para intelektual Eropah adalah akibat daripada kejayaan mereka menterjemahkan karya-karya & nukilan ilmuan-ilmuan Islam untuk dijadikan sebagai sumber rujukan utama.Karya-karya ilmiah berbahasa Arab diterjemah semula ke dalam bahasa Latin yang sewaktu itu pusat rujukan terdekat daripada tamadun Islam terletak di Cordova Sepanyol.Antara penterjemah Eropah yang terkenal sewaktu itu termasuk Adelard of Bath yang menterjemahkan buku-buku nukilan Al-Khawarizme dalam bidang matematik, Gerard of Cremona yang telah menterjemah hampir 92 buku-buku arab dan yang paling cemerlang adalah Gundissalines di mana beliau berjaya menterjemahkan beberapa bab dari kitab al-Syifa’ oleh Ibnu Sina, buku Ihsa al-ulum oleh al-Farabi, Risalat al-aqli Wa al-Ma’qul oleh al-Kindi, Maqasid al-Falsafah oleh al-Ghazali, dan yang terpenting, penterjemahan kitab nukilan Ibnu Rusyd yang membicarakan tentang hak asasi dan pemikiran tajdid sehinggakan lahirnya kelompok-kelompok baru di Eropah ketika itu seperti kumpulan pemikir bebas bukan profesional (a large body of improfessional free-thinkers) yang menafikan keabadian (immortality).Ini sekaligus telah mencetuskan penentangan dan kemurkaan daripada pihak gereja ekoran lahirnya falsafah-falsafah dan pemikiran baru yang menafikan penguasaan fahaman ortodoks gereja.
Kaum wanita pula yang tertekan oleh pelbagai diskriminasi telah mendapat ilham dan semangat baru apabila membaca buku-buku Ibnu Rusyd mengenai wanita dan hak-hak mereka. Kesedaran ini telah menimbulkan gerakan feminisme dan ia dipelopori oleh Dubois di Perancis dan Ockham di England iaitu kira-kira dua abad selepas kematian Ibnu Rusyd. Menurut para pengkaji pengaruh Ibnu Rusyd setidak-tidaknya terus berpengaruh selama empat abad di Eropah.Banyak lagi cerita yang ingin penulis nukilkan di sini.Cukuplah sekadar bahawa bangsa Eropah bukan sahaja hebat dalam menterjemahkan karya-karya ilmu dari peradaban Islam, tetapi juga mereka berjaya menterjemahkannya dan melaksanakan ilmu itu dengan baik sekali sehingga ke hari ini. Penubuhan institusi-institusi ilmu seperti Universiti Neples, Bologna, Paris, Oxford, dan Koln, akhirnya Eropah berjaya melepasi zaman gelap, menuju ke zaman Renaissance (Kebangkitan). Ilmu-ilmu dari dunia Islam telah membawa kejayaan kepada bangsa Eropah.
Realiti hari ini
Realitinya hari ini, perkembangan pesat tamadun Eropah dan Barat jauh meninggalkan kita di belakang. Lihat sahaja dalam segala bidang seperti politik, ekonomi, sosial, alam sekitar dan lain-lain, tidak dinafikan hampir majoriti yang menjuarai bidang-bidang ini adalah daripada barat. Lihat sahaja dalam kebersihan, di manakah tempat yang jauh lebih baik dan cantik landskap bandar, perumahan dan alam sekitarnya jika bukan di negara-negara Eropah seperti kota London, Berlin, Paris dan Rom.Hakikatnya kita di nusantara, bahkan negeri yang dikuasai majoriti umat Islam adalah negeri yang paling tidak terjaga kebersihannya, sampah sarap merata-rata dan penjagaan alam sekitar yang tidak teratur. Dalam penjagaan alam sekitar, siapakah yang menjuarai bidang konservasi dan pemuliharaan hidupan liar jika bukan Barat? Dalam bidang politik dan sosial, bangsa manakah yang jauh terkehadapan lebih berintegriti, jika dibandingkan dengan kita? Lihat sahaja statistik yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI),saban hari negara-negara majoriti komuniti Muslim tidak berada di puncak teratas.Samada berada di pertengahan atau yang lebih banyaknya jauh ke terbelakang.Dalam bidang ekonomi pula, walaupun majoriti negara Muslim menguasai sebahagian besar hasil-hasil bumi dan sumber asli dunia, namun adakah kita berada di dalam kelompok penguasa ekonomi terbesar dunia seperti Amerika, Britain, China, Jepun & Korea Selatan? Bahkan sistem kewangan dan ekonomi dunia pun tidak mampu dikuasai dengan memperkenalkan sistem dinar emas.Jauh sekali dalam bidang sains & teknologi, realitinya kita masih menjadi pengguna dan pengimport teknologi, bukannya pencetus dan pencipta teknologi.Lalu di manakah kita?
Bukankah Islam sangat menekankan elemen kebersihan? Dalam taharah (bersuci) pun, betapa ditekankan dengan teliti peri pentingnya amalan menjaga kebersihan. Islam juga turut menganjurkan penjagaan alam sekitar dan di dalam Islam sendiri bahawa alam sekitar itu adalah makhluk-makhluk Allah SWT yang perlu diuruskan dengan baik sebagaimana tanggungjawab penciptaan manusia sebagai khalifah.Bahkan di dalam konservasi sekalipun, yang merintis kaedah ini adalah daripada ilmuan Islam sendiri iaitu, Ibnu Abdus Salam yang merumuskan tentang hak-hak perlindungan haiwan dan konservasi haiwan.
Di dalam urusan politik (siyasah) dan pemerintahan, seringkali kita dengar ayat-ayat Allah SWT dan riwayat-riwayat hadith tentang betapa pentingnya urusan amanah, jujur, ikhlas, integriti dan perkaitan urusan pemerintahan dengan hari akhirat. Bahkan sebesar zarah sekalipun, apa yang dibuat di muka bumi ini akan diperhitungkan di akhirat kelak. Namun, pemerintah-pemerintah kaum muslimin hari ini adalah antara golongan terbesar yang memenuhi kerusi-kerusi korupsi dan penyelewengan.Begitu juga dengan sains & teknologi, tokoh-tokoh perintis ilmuan Islam yang disebutkan di atas, hampir kesemuanya adalah penghafaz-penghafaz al-Quran, yang menjadikan Al-Quran & As-Sunnah sebagai sumber primer rujukan, lalu diperkembangkan dalam bentuk realiti.
Kelemahan dan mencerna dan mengaplikasikan ilmu
Apa yang penulis boleh simpulkan di sini, antara punca kita berada di belakang berbanding bangsa eropah adalah akibat kelemahan kita dalam mencerna dan mengembangkan ilmu pengetahuan.Salah satu puncanya, ilmu pengetahuan yang dibawa dari Timur Tengah ke wilayah nusantara tidaklah sebaik ilmu yang dibawa ke Eropah.Eropah menerima ilmu-ilmu dari dunia Islam sewaktu umat Islam berada dalam kekuatan dan kemajuan. Sebab itu ilmu-ilmu yang kita sifatkan sebagai sangat “akademik” pada hari ini berkembang pesat di Eropah dan akhirnya mereka maju.Nusantara menerima ilmu tatkala suasana kerajaan Abbasiyyah berada di peringkat kemunduran dan kehancuran akibat penaklukan Bangsa Tartar.Segala khazanah ilmu di kota Baghdad telah dilupuskan sehingga dikatakan Sungai Tigris menjadi hitam akibat daripada dakwat-dakwat buku & kitab yang dilupuskan ke dalam Sungai.Selepas penaklukan Bangsa Tartar, golongan sufi mengambil alih Islam.Mereka muncul dan menyelamatkan Islam lalu mengembangkan aktiviti mereka ke wilayah-wilayah yang lebih luas. Para sufi pengembara telah melakukan pengembaraan hingga ke Nusantara.Pengembangan ilmu lebih berkisar kepada keagamaan dan kesusasteraan.Senario pemikiran, falsafah hidup dan budaya orang-orang Melayu dahulu lebih didominasikan oleh faham ketuhanan, kemanusiaan dan kebudayaan. Bangsa Melayu dan lain-lain suku bangsa di kawasan ini telah menikmati kemajuan-kemajuan dalam bidang ini.Namun seperti yang disebutkan di atas, ilmu-ilmu yang ada itu tidak luas dan tidak dapat menyelamatkan umat ini apabila diserang oleh contohnya bangsa-bangsa Barat.Ilmu sains & teknologi tidak diperkembangkan dan disampaikan dengan baik di sekitar wilayah ini. Penyampaian ilmu Islam secara kaffah hanya berlaku di sekitar akhir abad ke 19 dan 20.Lalu umat ini kebanyakan melihat Islam itu kurang izzahnya di dalam sudut ekonomi, politik, sains & teknologi yang menyebabkan kita terkebelakang.
Di tambah pula di budaya masyarakat kita sehingga ke hari ini, masih tidak mem’prioriti’kan ilmu sebagai budaya hidup. Jika adapun, ilmu hanya dijadikan sebagai alat untuk memenuhi keperluan dan kepentingan materialistik.Menuntut ilmu di sekolah sehingga ke peringkat universiti, tujuan utamanya adalah tidak lain dan tidak bukan, untuk mendapatkan kerjaya yang hebat, gaji yang besar, rumah yang mewah, kenderaan yang mahal, kedudukan yang baik di dalam masyarakat dan sebagainya. Takrifan ilmu itu sendiri telah disalahertikan, ilmu yang sepatutnya menjadi petunjuk ke arah kebenaran, yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan ke arah cahaya, ditukar kemaslahatannya untuk kepentingan individualistik dan materialistik.Tatkala barat sedang aktif memperkenalkan teknologi-teknologi baru, kita masih terhegeh-hegeh menghadam ilmu dan teknologi mereka.Silibus-silibus ilmu yang adapun kebanyakannya diimport dari barat.Walhal realitinya sumber Barat itu, datangnya daripada apa yang kita miliki sekarang.
Perbetulkan mentaliti
Tujuan penulis menceritakan semula sejarah & realiti peristiwa ini adalah untuk mengajak kita kembali melihat di manakah kedudukan sebenar kita di dalam penguasaan ilmu? Bukankah ilmu itu antara perkara yang sangat penting sekali dalam Islam. Namun, penguasaan kita jauh keterbelakang. Tidak kira, ilmu agama, kejuruteraan, fizik, biologi, kemanusiaan, sosial, seni, teknologi dan bermacam-macam disiplin ilmu yang ada di dunia ini, semuanya wajib dikuasai oleh umat Islam dan inilah yang akan mengeluarkan kita daripada belenggu kegelapan. Sudah tiba masanya kita mencorak kembali pemahaman kita terhadap ilmu, daripada tujuan materialistik dan kepentingan individu, kepada ibadah & amalan untuk akhirat.Adakah ilmu sains & teknologi yang kita belajar di universiti ini tiada kaitannya dengan Tuhan? Jawapannya, tidak. Yang menjadi masalahnya adalah mengapa kita tidak mengaitkan ilmu yg dipelajari itu dengan Ketuhanan dan Ketauhidan? Bukankah segala ilmu yang ada di muka bumi ini adalah hakmilik Allah SWT? Di manakah letaknya Tuhan tatkala kita mempelajari tentang tumbuh-tumbuhan? Di manakah letaknya Tuhan tatkala kita mempelajari tentang teori fizik dan biologi? dan dimanakah letaknya Tuhan tatkala kita mempelajari tentang ekosistem alam sekitar? Sudah tentu, jika pemahaman ini diubah, kita akan menjadi khalifah yang akan menguruskan alam ini berdasarkan ilmu yang dimiliki dan membantu mensejahterakan serta melestarikan alam.Kerana ilmu itu adalah satu amanah, bukannya alat. Jangan salahgunakan ilmu.
Penulis ingin menamatkan nukilan ini dengan menceritakan tentang seorang pakcik tua yang bercermin mata. Pada suatu hari, lelaki tua ini tercari-cari di manakah cermin matanya diletakkan, sejam, dua jam, masih tidak ketemuan. Akhirnya isterinya memberitahu bahawa cermin matanya terletak pada atas dahinya. Ia tidak hilang ke mana-mana.Begitu juga dengan ummah pada hari ini, kita sibuk mencari ilmu-ilmu daripada barat, sibuk mencari apakah punca barat menjadi hebat seperti hari ini? Adakah cara pemakanan mereka? Cara sosial mereka? Cara fesyen mereka? Cara pemikiran mereka? Sedangkan kita tidak tahu bahawa khazanah yang paling bernilai itu telah ada pada kita, yakni Al-Quran & As-Sunnah. Hanya yang menjadi penghalangnya adalah kelemahan kita dalam mentafsirkan dan mengaplikasikannya dalam bentuk realiti, lebih lebih lagi dalam kondisi dunia yang moden ini.
Kesimpulannya, kejayaan para ilmuan Islam pada zaman dahulu adalah akibat daripada kesungguhan mereka dalam menggali & mengembangkan ilmu yang bersumber daripada penjiwaan terhadap Al-Quran & As-Sunnah.Semoga bermanfaat dan selamat beramal.
Artikel oleh: Mohamad Hafizudin, University of Bristol
Malik bin Dinar (648M) ialah seorang ulama lagikan wali Allah. Ibnu Al-Jauzi meriwayatkan dalam Kitab At-Tawwabin(orang-orang yang bertaubat), daripada Malik Bin Dinar bahawa beliau ditanya mengenai sebab taubatnya, lalu beliau menjawab: “Dahulunya aku adalah seorang polis (di zamannya) dan aku pernah membeli seorang hamba wanita yang cantik. Dia amat sesuai bagiku. Lalu, dia melahirkan seorang anak untukku dan aku pun amat kasih padanya. Ketika mana dia mula berjalan, maka bertambahlah kasih sayangku buatnya dalam hatiku. Dia bermesra denganku dan aku pun bermesra dengannya. Setelah dia berumur 2 tahun, dia meninggal dunia dan kesedihannya itu pedih buatku.”
“Pada satu malam iaitu malam pertengahan bulan Syaaban, iaitu malam Jumaat. Aku terlihat di dalam mimpiku seolah-olah telah berlakunya hari kiamat. Sangkakala pun telah ditiup dan para penghuni kubur pun dibangkitkan. Lalu semua makhluk pun dihimpunkan dan aku juga bersama mereka. Maka aku pun terdengar satu pergerakan, aku memalingkan pandanganku. Tiba-tiba ianya adalah seekor ular besar berwarna hitam kebiruan. Ia telah pun membuka mulutnya dan mengejarku. Aku berlari-lari di hadapannya tergesa-gesa. Dalam perjalananku, aku berjumpa dengan seorang lelaki tua yang bersih pakaiannya serta berbau wangi. Maka aku pun memberi salam kepadanya. Dia menjawab salam kepadaku. Aku pun berkata: “Wahai lelaki tua, selamatkanlah aku dari ular ini dan semoga Allah menyelamatkanmu jua.” Lelaki itu pun menangis dan berkata: “Aku ini lemah dan ianya (ular) pula lebih kuat dariku. Berlarilah dengan segera. Semoga Allah merupakan buatmu sesuatu yang menyelamatkanmu darinya.”
Lalu, aku pantas berlalu terus ke hadapan. Lalu aku pun naik ke atas satu anjung daripada anajung-anjung hari kiamat itu. Lalu aku pun melalui di tepi beberapa tingkatan api neraka dan aku hampir-hampir terjatuh ke dalamnya disebabkan pergelutanku itu. Maka satu suara menjerit: “Berundurlah kamu! Kamu bukan daripada ahlinya.” Lalu aku berasa senang dengan kata-katanya itu dan aku pun berundur. Ular itu juga kembali mengejarku. Maka aku pun kembali semula kepada orang tua itu dan aku berkata: “Wahai orang tua! Aku sudah pun memintamu supaya menyelamatkanku dari ular itu, tapi kamu tidak melakukannya.”
Lalu orang tua itu pun menangis dan berkata: “Aku ini lemah. Tetapi, kamu berlarilah kepada bukit itu. Di sana terdapat tinggalan orang-orang Islam. Jikalau kamu ada tinggalan di sana, ianya dapat membantumu.” Aku pun melihat ke arah sebuah bukit yang dikelilingi oleh perak. Padanya terdapat lubang dindingnya yang menembusi di belakangnya, terdapat dua daun pintu diperbuat dari emas merah, diselangi dengan batu delima dan diliputi oleh permata. Pada setiap daun pintu terdapat tirai dari sutera. Setelah mana aku melihat ke arah bukit itu, aku pun berlari-lari ke arahnya dan ular itu masih di belakangku.
Sehinggalah aku mendekatinya, beberapa malaikat A.S menjerit: “Angkatlah tirai, bukalah daun pintu dan perhatikanlah!, moga-moga terdapat simpanan buat orang putus asa ini dalam kalanganmu semua yang dapat menyelamatkannya dari musuhnya itu.” Setelah mana dibuka daun-daun pintu itu dan mereka memerhatikanku, aku dapati ramai kanak-kanak seumpama bulan-bulan. Ular itu pun mendekatiku dan aku tercengang. Beberapa orang dari kanak-kanak itu menjerit: “Dengarlah kamu semua! Kesemua kamu perhatikannya! Musuhnya telah pun menghampirinya.” Mereka itu pun datang memerhatikan sekumpulan demi sekumpulan.
Tiba-tiba anak perempuanku memerhatikan aku, menangis dan berkata: “Demi Allah ini adalah ayahku!” Lalu dia pun melompat kepadaku dalam satu bekas diperbuat dari cahaya jalan seperti anak panah sehinggalah dia berada di sisiku. Dia pun menghulurkan tangan kirinya ke arah tangan kiriku. Maka aku pun berpaut kepadanya. Dia juga menghulurkan tangan kanannya ke arah ular itu sehinggalah ia melarikan diri. Kemudiannya, anakku itu meletakkan aku dan dia duduk dalam pangkuanku. Dia meletakkan tangan kanannya ke atas janggutku sambil berkata: Wahai ayahku!
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah?”(Surah Al-Hadid: 16).
Lalu aku pun menangis dan berkata: “Wahai anakku! Kamu semua tahu tentang Al-Quran?” Maka dia pun berkata: “Wahai ayahku! Kami semua lebih mengetahui tentangnya berbanding kamu semua.” Aku berkata: “Beritahulah kepadaku tentang si ular yang hendak membinasakanku itu.” Si anak itu menjawab: “Itulah amalan burukmu yang telah engkau menguatkannya. Ianya hendak menghumbankanmu ke dalam neraka Jahannam.” Aku bertanya: “Lelaki tua yang aku berjumpa dengannya itu?” Dia menjawab: “Itulah amalan solehmu yang engkau telah melemahkannya sehingga ianya tidak lagi mampu mengalahkan amalanmu yang buruk itu.”
Maka aku pun berkata: “Wahai anakku, apakah yang kamu semua lakukan di bukit ini?” Dia menjawab: “Kanak-kanak orang Islam telah tinggal di dalamnya sehinggalah ke hari kiamat. Kami pula menantikan kamu semua datang kepada kami, maka kami dapat membantu kamu semua.” Malik bin Dinar pun berkata: “Maka aku pun terjaga dalam keadaan takut dan gementar. Maka aku pun memecahkan kesemua alat-alat yang digunakan dalam menentang Allah. Aku juga telah meninggalkan kesemua itu. Aku jua telah mengikatkan taubatku dengan Allah Taala, iaitu Taubat Nasuha. Maka Allah pun menerima taubatku itu.”
0 comments:
Post a Comment